Wednesday, August 25, 2010

Tak suka la...

Hari Isnin, aku dapat call dari seorang perempuan bernama 'Mel' mendakwa dia dari telek0m , KL. Dia call regarding bill opis aku yang didaftar atas nama boss aku.
.
Dia cakap nombor telefon opis aku ni terpilih untuk dapat potongan bayaran bil bulanan. Biasa bayar 100+ dia kata leh bayar dalam 98 camtu. Kalo lebih dari 100+ dapat potongan setakat yang lebih tu ke camne ntah? Ye lah dah cakap pot pet pot pet bab angka ni mana sesuai thru telefon kan? Dia tanya mana boss aku? Aku kata boss aku pi China. Memang aku tipu sebab aku pun tak percaya Miss Mel ni takkan aku nak jual nama Boss aku. Lagipun urusan bill aku yang buat jadi tak perlu cari boss, aku pun leh tolong decidekan. Dan bil yang atas nama boss tu kurang penggunaannya, tak la sampai 100++ jadi aku cakap awal-awal, 'hm saya rasa company saya tak perlukan pakej tu la..'. Dia tak puas hati dan nak jugak aku tanya boss aku sebab katanya rugi sebab bukan semua company terpilih. Dia nak pulak nombor contact Boss aku. pergh, bertuah aku nak bagi? Aku minta nombor si Mel ni dia bagi aku nombor 1-800-88 apa ntah. Aku kata 'ni nombor u ke?' Dia kata kalo apa-apa pertanyaan boleh call nombor tu. pastu dia sambung lagi pot pet pot pet dan aku kata 'ada tak apa-apa flyer tentang promosi ni, fax kan la senang sikit I nak tunjuk kat boss'. Dia kata 'oh flyer takde masalah akan diusahakan'. Aku tunggu punya tunggu sampai petang takde mende pun dia fax kat aku.
.
Esoknya, (selasa) ye bener si Mel ni cari aku lagi. Dia pun tanya 'ha, macam mana, Boss setuju tak nak amik?' Aku kata 'Boss saya kata bil tak banyak sangat rasanya tak perlu. Dan kalo kami nak tukar plan kami akan pegi ke telekom terus dan tanya' . Pastu dia kata 'Eh benda ni tak boleh gi telekom sebab hanya nombor terpilih je yang dapat. jadi kalo u pergi telekom, dorang tak tau apa-apa.' hai?? betul meh? Telekom wat promosi, tapi kalo tanya Telekom, telekom tak tahu apa-apa? Wah ni sudah lebey. Kau mahu tipu aku kah? Pastu aku kata 'U pun, i suh fax kan flyer u tak fax pun?' Dia kata 'hm i dah fax, u tak dapat ek?' Aku kata 'ye la, kalo u dah fax pun takleh ke u reconfirm samada i dah terima ke tidak?' 'Hm ok,ok nanti saya fax balik' (tapi hampeh, takde jugak). Pastu aku kata memang tak minat dengan tawaran dia dan lagipun urusan bil bukan kat sini saja uruskan tapi HQ aku uruskan.
.
Pastu dia mintak pulak nombor HQ aku dan orang yang boleh dihubungi. tapi aku kata la 'Tapi, kalo u amik nombor sana, takkan la nombor sana lak leh dapat tawaran ni? Bukan u kata hanya nombor terpilih? Dia pusing lak kata 'Eh takpe, sebab memang biasa la macam ni, ada company yang i penah register kan kat perak tapi HQ kat kedah' Pulak dah camtu. Sebab dia mendesak sangat aku pun bagi la nombor HQ aku dan orang yang boleh dihubungi. Pastu aku cepat-cepat call HQ aku tu dan bagitau kalau ada call berkaitan ni, maknanya aku lah yang bagi nama ni. Sib baik Ms. W tu faham sebab dia pun dah banyak kali kena.
.
Memang aku tak suka panggilan macam ni sebab banyak sangat kesangsiannya. Aku tak lah bodoh sangat untuk terus setuju, nak-nak hal yang berkaitan company aku. Biar ada hitam putih, persetujuan tak patut diberi melalui phone lainlah kalo kita memang setuju awal-awal untuk berurusan melalui telefon saja. tapi company aku bukan kat ceruk, kalau ada apa-apa memang boleh je berurusan dengan kedai telekom terus. Aku tak puas hati sebab dia mendesak-desak, malahan menipu pula. tak suka la. - L

Tuesday, August 24, 2010

Kisah Nabi Sulaiman AS

Dari buku 'MISTERI KEAJAIBAN DUNIA', ada kisah Nabi Sulaiman AS dgn seekor semut. Kita tahu Nabi Sulaiman AS adalah Nabi yang diberikan mukjizat dapat memahami bahasa binatang. Suatu hari Nabi Sulaiman melihat sekawanan semut kelihatan bersusah-susah mencari makanan, lantas Nabi Sulaiman pun bertanya kepada salah seekor semut 'berapakah keperluan makanan semut untuk 1 tahun?' Semut itu jwb 'sebiji gandum'. Maka Nabi Sulaiman dengan niat nak memudahkan tugas Semut lantas memberi Semut sebijik gandum.

.

Setahun berikutnya, Nabi Sulaiman datang semula dan nak tengok keadaan semut dan ingin menambah sebiji lagi gandum untuk tahun berikutnya. Namun alangkah terkejutnya kerana biji gandum yang diberi pada tahun lepas berbaki separuh. Nabi Sulaiaman pun bertanya 'Wahai Semut, mengapa kau tidak habiskan gandum pemberianku itu?' Semut jwb 'Wahai nabi Allah, masa aku berusaha sendiri cari gandum,aku bertawakal pada Allah,kerana Allah pasti memberi ,tetapi bila engkau yg bagi ,aku hanya bgantung kepada kau namun aku tidak yakin kau akan membawa sebijik lagi gandum untuk tahun berikutnya, maka aku beringat-ingat dan menghabiskan separuh saja gandum ini'.

.

Kisah ini memberi moral bahawa saat-saat kesukaran atau ujian adalah saat paling dekat kita dengan Allah, kerana hanya Allah tempat pergantungan paling meyakinkan dan ia bersifat Maha Mendengar dan maha Memberi, apa jua yang kita mohon, Dia pasti memberi.

Monday, August 23, 2010

Alahai..aku yang sopan ni pun kena jugak ke?

Terkejut, sedih dan bengang bila dapat tahu aku pun dalam senarai diberi 'surat cinta' ni!
.
Apa yang wat aku bengang bukan kerana aku tak nak mengakui kesilapan. Bukan juga tak nak bayar. Cuma aku tak puas hati sebab masa tengah heboh saman ekor ni, aku pun dah check berkali-kali melalui sms dan juga web myeg ni, katanya takde rekod!. Syukur sangat aku waktu tu, dalam keadaan nak menghadap bulan Ramadhan dan Syawal ni, berita mengatakan aku takde rekod saman benar-benar melegakan.
.
Tapi rupa-rupanya hujan cuma sekejap, lepas itu panas nya berbahang. Sabtu lepas, Am suh aku tengok 1 surat. Rupa-rupanya surat cinta ni lah. Aku ditangkap melebihi had laju pada 30 April 2010. Kenapa boleh jadi camni. Aku dah check bulan lepas, takde. Kalo kesalahan yang baru berlaku, aku leh terima, mungkin dorang lambat update. Tapi ni kesalahan 3 bulan yang lepas, mana aku tak bengang. Dorang ni wat keje camne. Buat sistem punya gah dengan sistem sms lagi, tapi last-last kene percaya kepada surat. Bistu web tu wat apa, amik orang buat bayar mahal, sistem sms pun sama. tapi karut je. Eii aku marah la ni. marah, marah, tau!
.
Di samping tu, aku pun sangsi dengan diri aku ni kerana aku ni kalo memandu sangatlah sopan. Kalo kata 60km/j, 60 lah aku bawak. Ko nak potong, potong lah. Aku tetap kat lane kiri. Hm ntah camne la petang kejadian tu aku terpress 86km/j? Macam tak caya je diri aku wat gitu sedangkan 4 tahun memandu ni, nak cecah 100 tu memang leh kira dengan jari. Tu pun kat hiway lah kot. Tapi kawasan jalan raya sini, seingat aku, aku patuh pada undang2. Nak-nak aku penah accident tahun 2008 aritu lagilah bertambah sopan aku di jalan raya.
.
Tapi apa nak buat, dah musim saman ekor. Kalo dah nak kena tu...kenalah juga.....Huhuhu~

Saturday, August 21, 2010

Layan drama waktu Sahur


Hari tu citer pasal aktiviti sambil nunggu berbuka kan.
.
Hari ni citer pasal sahur pulak. Kitorang anak-beranak bangun sahur kul 5 pastu berbondong-bondong gi dapur amik nasi dan lauk masing-masing dan bawak ke ruang depan, sebab nak makan sambil tengok TV.
.
Dulu-dulu takde cenggini kan? Kat mana mak hidangkan nasi, kat situlah bersahur. Tak terpikir pun nak tengok TV, alah lagi pun bukan ada siaran pepagi buta camtu. Paling koman pun dengar radio lah nak dengar waktu imsak.
.
sejak-sejak dah ada anak ni lah baru reti makan sahur sambil tengok tv. TV pulak tayang rancangan yang menarik-menarik juga. Tapi biasanya rancangan tu ulangan macam Syahadah, rancangan masak-masak ataupun drama. Ha sekarang ni tv2 tengah ulang tayang drama 'Fatimah Najwa'. Layan gak citer ni berbanding tengok TV3 tayang Nur Kasih (memang tak minat) .TV1 pulak citer Rindu Sarajevo ke apa ke, lakonan Sharifah Sofea. tapi citer tu agak berat dan serius jek. Jadi aku beralih ke tv2 lah. Drama fatimah Najwa ni dah siar pada tahun 2008 tapi waktu siaran 1.30 petang. Hm camne nak tengok,kan, sebab waktu tu waktu bekerja.
.
Mula-mula aku tengok tipu-tipu je, sekadar tukar-tukar channel time iklan. Tapi sejak episod yang Fatimah ni kawin lari pastu yang mainkan watak suami dia ialah Akbar Brothers, hm, boleh tahan gak lakonan Akbar tu eh. Suka la kat dia. Betul-betul macam ustaz. Skrip nya pun tak klise. Tapi aku still tak tahu kenapa bapa Fatimah tak suka orang Melaka? (dalam drama ni si Akbar orang Melaka, Fatimah orang Kelantan) Ha sapa yang penah tengok dari awal leh citer sikit tak kat aku?
.
Watak Sheera pun dilakonkan dengan baik. Sian nya lah kawan tu pregnant anak ketiga tapi komplikasi pulak. Dia cuba nak menghubungi abah dia selepas hampir 10 tahun membawa diri, anak pun nak masuk 3. Tapi mak Fatimah tak bagi Fatimah bercakap dengan abah dia. Masa tu aku heran gak apasal la mak Fatimah ni, takde perasaan kah sebagai seorang ibu. Biasanya dalam kes camni, ibu lah yang paling tak boleh berpisah dengan anak dan kalo leh nak anak dia cepat-cepat kembali ke sisi. Lepas beberapa episod baru lah aku tahu, rupa-rupanya Wan Maimunah itu mak tiri nya.... Oh patutlah! Dan, dia tahu yang Fatimah dah ada anak, jadi dia tak nak suami dia wariskan harta kat anak-anak Fatimah sebab tu dia halang Fatimah dari menelefon ke rumah. Jahatnya mak tiri dia. Pastu dia suruhnya anak dia dengan suami pertama dulu, si Ozlyn ni pi cari kat mana Fatimah tinggal dan goda suami Fatimah.
.
Pagi tadi, episod yang sedih lah jugak sebab Fatimah akhirnya meninggal dunia semasa pembedahan mengeluarkan bayi (bukan beranak, tapi Dr suruh gugurkan sebab membahayakan diri). Pandai la budak-budak (yang jadi anak Fatimah) berlakon. Lepas Dr bagitau yang Fatimah tak dapat diselamatkan, si abang terus pukul-pukul Dr dan cakap 'Dr jahat!Dr jahat! mak tak mati!' Aku nangis weh kat part ni!! Tak sangka lak terkesannya aku dengan citer ni. Am kata, Aku Obses. haha.
.
Tak sabar nak ikuti kesudahan cerita ni. Katanya nanti Akbar akan bertemu girlfriend kepada kawannya yang Awwww tu yang muka sebijik sebijan macam Fatimah, Namanya Najwa. Mungkin di sinilah konfliknya. Asalnya Akbar nasihatkan kawannya (nama Wahid) untuk berubah jadi lelaki sejati akhirnya Wahid boleh berubah dan sekarang dah ada girlfriend iaitu Najwa. Masalah sekarang, Najwa muka macam Fatimah dan anak-anak Akbar memang memerlukan seorang ibu. Bolehkah Wahid berkorban demi sahabat baik yang banyak memberi nasihat dan membantunya berubah? Dan adakah Najwa akan ditemukan dengan keluarga Fatimah terutama bapa fatimah yang amat merindui Fatimah? Sama-sama kita nantikan. Eh aku je lah nantikan sebab aku yang lum tengok sampai abis? kihkihkih. - L

Tuesday, August 17, 2010

sambil menunggu waktu berbuka...

Ramadhan kali ni, petang-petang sambil tunggu waktu berbuka, aku suka tengok TV1 rancangan Syahadah dan Nostalgia Ramadhan. Pada aku, kedua-dua rancangan ni ada manfaatnya yang boleh diikuti. Nostalgia ramadhan tu walaupun cerita tentang ramadhan selebriti (setakat ni aku sempat tengok episod Rosyam Noor, Rosnah Md Aris, Mamat Khalid dan Salleh Yaakob), tapi imbauan kenangan Ramadhan dalam kesempitan hidup sangat mengharukan.
.
Terutama kisah Rosyam Noor dan Rosnah Md Aris. Rosyam Nor miskin, duduk di rumah setinggan, nak cari duit lebih, dia jual ais ketul. Pastu raya ketiga baru dapat beli kasut raya, itupun hasil kutip duit raya dari rumah ke rumah. Yang paling aku sedih dia kata 'dulu waktu sahur dalam gelap cuma ada cahaya pelita, jadi lauk apa sekalipun rasa sedap sebab tak nampak. Sekarang ni walaupun dah mampu makan macam-macam tapi saya tak rasa lagi nikmat bersahur macam dulu'. Rosnah Md Aris pula sedih sebab ada sekali tu, dekat nak raya, rumahnya terbakar, dengan baju-baju raya sekali terbakar. Sedangkan nak dapat baju baru bukan lah senang cuma pada hari raya, tapi tahun tu, mereka kehilangan segala persiapan.
.
Sambil tengok tu, mak aku pun cerita yang pengalaman selebriti tu sama je dengan pengalaman mak aku waktu kecik-kecik dulu. Memang keluarga Tok dan Opah aku orang susah, keje menoreh getah dan makan dari hasil kampung saja. 'Macam rosyam Nor jugak le, bila nak merasa makan ayam atau daging, pegi lah beraya rumah orang, masa tu je dapat makan yang mewah sikit. Nak dapat duit lebih, jual ais ketul' cerita mak aku.
.
Masa zaman aku sekolah rendah pun, keluarga aku pun tidaklah mewah tapi tidak lah sesusah zaman mak aku. Off course la kan, zaman berubah, dunia makin maju. Tak lah sampai menjual ais ketul. Cuma ada persamaan ialah aktiviti sambil menunggu waktu berbuka tu. Dulu, aku merasakan waktu sangat panjang sebab takde aktiviti yang nak dibuat. Kalo kuar main kang, penat pulak. Rumah aku pernah takde TV dari tahun 1986-1988 (rasa macam dah citer beribu kali dah kan?). Maka lagi lah bosan nya mengisi 14 jam setengah tu. Tak macam zaman anak aku sekarang, aku tabik spring kat anak aku yang senang betul berpuasa. Bersahur senang, sambil menunggu waktu berbuka pula, ada saja aktivitinya. Lepas balik sekolah, solat kat masjid, pastu mengaji dan tidur sekejap. Petang bangun leh tengok facebook, layan youtube atau tengok CD. Tup-tup dah lepas Asar. Mandi pastu kuar main kejap, dah sampai waktu berbuka. Ada jugak la sesekali tanya 'mak dah pukul berapa?' atau 'mak...bila nak berbuka ni..?' tapi tak lah seteruk aku dulu. Tiap-tiap 10 minit tanya 'lagi berapa jam? lagi berapa minit?'. Melepek tu usah cakap lah, berpuasa macam nak mati!!!
.
Bila zaman dah ada TV tu barulah rasa terisi. (hai, macam besar sangat la fungsi tv ni kan?padahal, bukan banyak faedah malah mengkhayalkan). Macam orang lain juga lah, tengok drama-drama bersiri Wardah, Nur Hikmah, Rumah Kedai, Drama Arab Firaun (yang ada pelawak nama Yuyu tu, aku ingat sangat style cakapnya yang mendayu-dayu tu!). Masa tu pun dah faham erti puasa dan tak lah rasa puasa tu terlalu lama, malah dah menjadi kebiasaan dan boleh bersabar. - L

Friday, August 13, 2010

Sudah fitrahnya perempuan...

Kita hanya mampu merancang, Allah juga yang memberi yang terbaik untuk kita, sebagai insan bernama perempuan.
.
Niat di hati tu memang lah nak bersungguh-sungguh melaksanakan ibadat ramadhan. Kalau boleh dapat penuh takde putus-putus, rasa sangat suka sebab semangat nak buat ibadat ni bukan senang nak dapat. Sebab sedar diri ni yang penuh sifat malas. Malas mengganti malas nak melakukan ibadat-ibadat sunat.
.
Tapi, sudah fitrahnya tadi sebagai perempuan, datang lah jua sahabat baik yang memberhentikan sebentar hasrat nak buat ibadat tak nak putus-putus tu. Kecewa? Tidak lah sangat kerana kufur nikmat lah kalau kita menidakkan sunnatullah. Cuma, sekali lagi, sebab sedar diri ni yang lemah, penuh sifat malas itu yang menjadikan sedikit rasa sedih. Lagipun, walaupun tak boleh puasa, kena juga puasa, demi menjaga kebajikan orang sekeliling. Kalau kat opis pun tak boleh makan sesuka hati, cukup susah meski nak meneguk seteguk air mineral, takut-takut dilihat orang. Di rumah pula, anak-anak kecil cukup peka dan tajam pandangan mata! Terpaksa la mengatur strategi untuk membatalkan puasa ni dengan penuh teliti, mengalahkan perompak, ye. hehe.
.
Apapun, sahabat baik ni datang untuk kebaikan tubuh badan kita jua, kalau dia tak datang atau tak normal, kita juga yang sakit. Maka, layanilah sahabat baik anugerah Allah untuk kita dengan penuh sabar dan sebaiknya. Esok, bila dia dah balik, kita kuatkan balik semangat untuk melakukan ibadat puasa dan amalan-amalan lain sehinggalah mencapai kejayaan untuk diraikan pada 1 Syawal. - L

Thursday, August 12, 2010

Ramadhan ni sekadar bulan tahan lapar dahaga saja kah?

Persoalan ini aku perpanjangkan dari FB. Sebagai peringatan sesama kita juga kerana kadang-kadang kita alpa tentang tujuan Allah berikan hadiah Ramadhan ni kepada kita.
.
Dalam FB, tengahari2 lagi ramai dah cerita tentang berbuka, tentang lapar, tentang dok bau makanan kat opis. Ini sebenarnya secara tak langsung (walaupun bukan semestinya) menunjukkan kegagalan kita. Ya, gagal dalam menahan sabar tentang makanan dan minuman.
.
Ini terjadi kerana dalam fikiran kita telah set yang puasa itu setakat tahan lapar dan dahaga. Apa yang kita tak boleh buat, itulah yang kita fikirkan dan terbayang. Dari situ otak kita asyik memikirkan tentang makanan, seolah-olah puasa adalah tentang makanan, iaitu menahan makan, tapi dalam menahan-menahan tu, kita fikirkan jua! Paling lemah bila kita dah tahu kita sedang beribadat puasa, kawan-kawan muslimin pun puasa, kita pi buh gamba makanan dalam FB. Demi untuk menunjukkan 'inilah yang kita dok bayang dan idamkan untuk berbuka nanti'. Kalau dari segi Law of Attraction, apabila kita memikirkan apa yang kita tak boleh buat (makan dan minum ketika puasa), perkara itu tetap stay dalam fikiran kita menjadi sesuatu yang 'penting'. Ini menyebabkan segala yang ada di sekeliling memberi respon dengan impak yang lebih besar. Mulalah kita kata tercium bau ayam lah, teringat buah mempelam cicah asam lah. Lapar lah, dan kecur liur.
.
Cuba lah kita ingat semula tujuan Allah bagi kita bulan yang mulia ni. untuk apa? Adakah sekadar menahan makan dan minum atau tak boleh korek hidung atau mengumpat semata-mata? Ini adalah bulan ibadat, pahala yang diberi akan dilipatgandakan! Maka inilah yang kita perlu bayangkan dan checklist diri kita, apa yang kita lum buat, apa yang kita sempat buat apa yang belum sempat. Ini yang penting sebab waktu ni saja dapat pahala bonus. Bulan lain kalo buat ibadat pun ada pahala tapi tak sehebat bulan di bulan ramadhan!
.
Maka bayangkan lah diri kita sedang membuat ibadah-ibadah tersebut. Dari pagi, bayangkan buat solat dhuha (kalau dapat buat, lagi bagus!), tengahari bayangkan sedang tadarus, petang, bayangkan sedang solat tarawih ataupun sedang bersedekah, atau sedang membaca Al-Qur'an di masjid. Inilah perkara-perkara yang 'penting' untuk difikirkan berbanding makanan dan minuman. Dari situ, Law of attraction akan menarik segala apa yang kita fikirkan sehingga kita mampu lakukan. Bayangan atau gambaran makanan dan minuman tadi akhirnya sudah tidak menjadi mustahak lagi.
.
Kebaikan dari keinsafan dan muhasabah kita tadi, akhirnya kembali kepada kita juga, kita dapat tingkatkan ibadah malah Allah lipat gandakan pula pahalanya. Alangkah nikmat kita sebagai ummat Islam, kan? Alhamdulillah.... - L

Tuesday, August 10, 2010

Ramadhan yang terindah


Tidak dapat tidak, masa zaman sekolah menengah lah sambutan Ramadhan yang paling menyeronokkan bagi aku. Pada tahun 1992-1996.
.
Pengisiannya padat dan tak berpeluang untuk bermalas-malasan. Program Ihya' Ramadhan bermula seawal pagi, apabila tiba waktu bersahur kami dikejutkan dengan alunan ayat-ayat suci Al-Qur'an yang dipasang sekuat-kuatnya. Masa tu rasanya, pasang kaset kat SMKASAS, 1 Bota boleh dengar! Alunan tu ada macam-macam pula 'qiraati' nya. Kebanyakannya dari kaset timur tengah. Dan nasyid-nasyid Nadamurni.
.
Pada hari tertentu, sekolah anjurkan solat dhuha, Isyrak secara berjemaah di masjid. Petangnya pula tadarus, malam sudah pasti tarawih 20 rakaat yang dibacakan surah-surah yang panjang pula. Teringat Ustaz As'ad yang bacaannya memang lembut (lambat), pada satu hari dia jadi imam dan baca surah Yaasin. MasyaAllah, kami ni rasa nak pengsan, ketar lutut bagai! Padahal itulah waktu yang paling banyak pahala boleh dapat atas kesabaran dan kekhusyukan mendirikan solat,kan? Pada hari yang lain para pelajar lah imamnya, ada yang suaranya sedap sungguh macam senior ku ni, ada yang hafalan nya hebat. Subhanallah untung nya mereka ni dengan bakat dan kurniaan Allah. Kita ni nak capai 'maqam' tara tu, hm ntah lah tapi harap-harap boleh!
.
Waktu berbuka dimulakan dengan alunan zikir, nasyid asma'ul husna sehingga lah azan berkumandang dibacakan doa secara berjemaah. Ya Allah seronoknya, rasa macam waktu makan tu berkat sangat. Tapi kejadian-kejadian yang tak menyenangkan macam makanan dicuri dari tray, kuih ditukar, kuah takde lauk biasa terjadi. Kat mana-mana sekolah asrama pun begitu lah, zaman budak nakal. Tapi kejadian tak seronok ni tetap tak dapat mengatasi keindahan melaksanakan ibadat Ramadhan.
.
Selepas SMKASAS, masuk UUM, sambutan ramadhan tentulah agak berbeza. Dulu, sekolah agama, satu bangsa satu agama, masuk U dah campur-campur. Macam kejutan budaya pun ada, maklumlah tak biasa lepas bebas. Jadi bila time ramadhan dah hilang semua semangat nak tarawih, tadarus tu semua padahal masjid tak jauh pun. Hm mungkin faktor kawan-kawan pun sama....kawan-kawan tak lah jahat, cuma tak sefikrah. Bila dah kawin ada anak ni, Ramadhan tetap seronok tapi tu lah kemalasan tu mula terasa. Dengan alasan penat balik kerja, pengisiannya kian terabai, cuma dapat pahala menahan lapar dan dahaga je. Itupun kalo dapat. hmm.
.
Dengan kesedaran ni memang aku bercita-cita nak memperbaiki pengisian Ramadhan dan tak nak bermalasan lagi. Lagipun Luqman makin besar, kenalah tunjuk contoh yang baik untuk dia walaupun sebenarnya sungguh mudah mendidik Luqman tentang puasa dan solat tarawih, tahun lepas sahaja dia dah mampu berpuasa 26 hari, harap tahun ni lebih baik. Dan harapan kami semua pun dapat mengulangi saat-saat Ramadhan yang indah macam dulu, barulah Hari Kemenangan 1 Syawal akan menjadi lebih bermakna. Insya Allah. - L

* gambar hiasan adalah gambar pelajar lelaki batch aku sedang buka puasa, gambar cilok dari FB

Taman yang indah, di laman sendiri

Seorang pekebun itu telah berminggu membuka laman belakang rumahnya untuk dijadikan sebuah taman.
.
Pada hari-hari yang pertama, dia telah berfikir dan merancang pelbagai jenis benih bunga yang indah untuk disemai. Pekebun itu juga telah membeli pelbagai jenis baja dan peralatan untuk merealisasikan hasratnya itu. Dengan bahan dan alatan yang cukup, pekebun pun mula menanam dan menyusun barisan pasu-pasunya agar kelak, apabila bunga mulai berkembang, kebun nya tadi akan menjadi berseri-seri dipandang orang.
.
Namun begitu, tidak semua impian pekebun itu tercapai. Beberapa batang pokoknya diserang makhluk perosak walaupun dia telah menyembur dengan racun serangga. Ada pula pokok herba yang diharapkan untuk menjadi ubat tradisional, layu sebelum cukup tumbesarannya. Walau bagaimanapun masih ada bunga-bunga dan pokok-pokok yang terselamat dari ancaman, cuma pekebun merasa kecewa kerana impiannya untuk melihat kebun yang berseri-seri tidak akan tercapai. Apalah diharap pada satu dua batang bunga, langsung tak dipandang orang.
.
Satu hari, pekebun melihat jiran sebelahnya juga sedang mengusahakan laman belakang untuk dijadikan taman. Si jiran tadi dilihatnya tidak pula menggunakan pelbagai alatan dan baja-baja yang bagus, namun beberapa minggu kemudian, bunga-bunga di kebun jirannya kembang mekar dan sangat cantik. Pekebun berasa sangat cemburu melihat laman jirannya yang sangat cantik sedangkan si jiran tidak pula bersungguh-sungguh sepertinya menyemai laman.
.
Suatu hari pekebun berhasrat untuk mengintai laman si jiran. Kerana malu untuk bertanya rahsia si jiran, pekebun pun terhendap-hendap melihat taman yang indah tersebut. Rupa-rupanya keindahan yang dilihat itu bukanlah yang asli, tetapi palsu belaka. Pekebun mendapat tahu bahawa suami si jiran adalah seorang jurutera yang telah merekacipta tanaman dari gentian yang menyerupai pokok bunga sebenar! Ah, padan lah segalanya kelihatan indah dan mudah, kerana ia bukan asli!
.
Di manakah kepuasan sekiranya segalanya begitu mudah tetapi palsu? pekebun kembali ke tamannya dan melihat baki pokoknya yang masih hidup dan mekar. Sekurang-kurangnya dari pokok yang masih hidup itu pekebun boleh mengkaji apakah bezanya dari pokok-pokok yang telah layu itu. Mungkin kah baja nya kurang, mungkin kah semasa proses menanam tadi pekebun telah terpotong akarnya?. Setiap pasu itu diperiksanya dan sememangnya ada kesilapan di setiap pokok yang telah layu. Pekebun bernekad memperbetulkan kesilapan tersebut dan akhirnya sebuah kebun yang sempurna terbentang di hadapan mata. Sementara di kebun jiranan yang indah pada mulanya itu, semakin pudar kerana campuran kimia warnanya tidak tahan dilanda hujan lantas luntur semuanya.....

Saturday, August 7, 2010

Resensi gitu...


Padahalnya resensi tu ulasan buku kalo dah habis baca dan nak cadangkan kat orang. Ni buku tak abis baca (amik masa setahun lak tu), tapi dah citer kat orang?
.
Sesuai la kan tema nak masuk 'Bulan Ramdan yang mulia Umat Islam berpuasa menunai rukun ketiga', sekarang ni kena lah bersiap sedia menyambutnya. Jangan nanti bila dah abis Ramadhan baru lah terhegeh-hegeh cakap 'alahai solat tarawih satu rakaat pun tak dapat buat, Ramadhan depan entah sempat entah tidak'. Huh tu aku la tu, ralit, ralit, ikut sangat bisikan nates itu. Bertangguh, tangguh last-last dah nak raya.
.
macam bab nak baca buku ni lah. Dari ramadhan tahun lepas aku dah beli buku nih, buku kedua yang aku miliki tulisan Ust.SahrulAzmi Sidek. yang pertama 'Sakit Pun OK' beli pada tahun 2008. Lepas khatam buku SPOK tu barulah aku dapat tahu pasal hepatitis B, see, cantikkan aturan Allah? Allah bagi dulu dorongan aku untuk baca macam mana hendak menghadapi ujian sakit dengan sabar, terbuka hati dan tawakal kepadaNya. kemudian, barulah aku mendapat tahu tentang Hepatitis B tu. Alhamdulillah, syukur dengan tarbiyyah ini dapatlah aku faham kenapa ada ketika tu kita diuji, ini kerana Allah ingin menaikkan darjat keimanan kita terhadapNya.
.
Ok back to the future, buku ILR ni santai isinya. Kalau sebelum ni kita biasa tengok atau baca buku PANDUAN BERPUASA atau PUASA yang disampaikan secara mendatar sekadar untuk kita tahu apa yang perlu dilakukan ketika bulan ramadhan. Contoh : niat puasa, niat berbuka, cara solat tarawih dan sebagainya. tapi, ILR ni bukan setakat bagi kita TAHU tentang Ramadhan malah KENAL dengan Ramadhan. Menanti Ramadhan, merindui Ramadhan dan menghargai Ramadhan seperti mana kita melayan seorang kekasih yang hanya datang menemui kita sesekali je sahaja dalam setahun. Bayangkan kalo kita punyai kekasih yang hebat, tetapi hanya dapat bertemu sekali saja, tentu kita berasa rindu dendam menanti kedatangannya dan berasa amat sedih bila dia meninggalkan kita semula. Sebab tu tajuk yang dipilih ialah 'I Love Ramadhan'.
.
Sebagai umat Islam, kita patut bersyukur kerana agama kita ni terkandung pelbagai perkara yang hebat, kita ada Rasul yang hebat, Kitab yang hebat dan bulan yang hebat! Marilah kita menghargai kurniaan Allah ni kepada kita dan berusaha melaksanakan perintah Allah dengan sempurna.

Friday, August 6, 2010

Bukan perkara luar biasa...


Akhir-akhir ini aku banyak mendengar kisah rumahtangga kawan-kawan yang aku sayangi mengalami masalah. Bukan niat aku menjaja cerita mereka di sini, cuma aku ingin meluah rasa sedih yang aku tak boleh elak ini.
.
Dulu (ketika umur pertengahan 20an) usia ni kurasakan sangat muda dan sudah tentu mereka yang sebaya aku belum lagi melalui keluh kesah, sepak terajang rumahtangga. Apatah lagi Bercerai???. fikirku, saat-saat ini tentu sedang enak diulit bahagia, mula menimang zuriat, mula memulai kehidupan, menikmati hasil gaji pekerjaan pertama dan sebagainya. Melewati gambar-gambar di facebook atau blog, Alhamdulillah, nampak bahagia, sungguh-sungguh bahagia.
.
Rupa-rupanya 'Yang Terindah Hanya Sementara', satu persatu aku mendengar runtuhnya mahligai di sana, ranapnya mahligai di sini. Padamnya api cinta di situ, pedihnya hati yang menahan di mana-mana. Kawanku, apa sudah terjadi?
.
Ada yang bersuamikan lelaki pemalas, mengharapkan poket isteri. Ada yang beristerikan seorang yang tak pandai menjaga mulut, mulut pantas mencerca suami dan sentiasa mengungkit kesalahan yang kecil. Ada yang suami berubah menjadi pendiam dan menjauh hati, secara tiba-tiba. Suami yang mengasari isteri. Dan sejumlah besar kerana kecurangan yang mendatangkan perasaan benci dan tidak bisa lagi bersatu atas nama Suami dan Isteri.
.
Usia masih muda, perjalanan masih panjang, anak-anak masih kecil tapi perpisahan tetap berlaku. Aku simpati dan sedih dengan nasib anak-anak, tapi aku tetap memberi sokongan, jika itu keputusan yang terbaik, siapalah aku untuk menghalang. Sebagai makhluk Allah, janganlah jadikan perpisahan sebagai titik kehidupan. Matlamat kehidupan ini tidak lain adalah untuk mencari keredhaan Allah baik sebagai bujang, isteri, isteri bermadu, janda atau apa, matlamat kita tetaplah mencari keredhaanNya.
.
Teruskanlah pencarian, bahagia itu ada di mana-mana.

Wednesday, August 4, 2010

Jangan sebut banyak kali, nanti mencarut pulak!

AMARAN : entri ini mengandungi visual yang kurang menyenangkan pandangan mata anda, tapi ia tak bermakna blog ini haram dan perlu disamak. hahaha!
.
YA, ini adalah realiti kejadian yang berlaku petang semalam kat kejiranan aku. Seekor baba hutan (ikut istilah kawan aku) telah tersesat masuk ke kawasan rumah selepas tersondol dengan sebuah kereta Wira.
.


Waktu kejadian adalah pukul 6.30 petang. Aku baru sudah makan malam dan bukak komputer untuk berFB. Tiba-tiba aku dengar bunyi 'pom!' diikuti bunyi tayar menyeret. Sah! Eksiden ni. Jalan depan umah aku memang dah acapkali kejadian sebegini. Aku pun amik tudung dan berlari ke luar. Hati aku cuak jugak sebab risau kalau yang kena tu orang yang aku kenali. Tiba-tiba teringat ayah aku baru keluar untuk ke tempat kerja dengan motornya. Aku makin takut, 'Oh Janganlah!' Kemudian aku fikir, 'eh ayah kuar awal sikit tadi..tak kan lah..' OK, memang bukan ayah aku sebab aku tak nampak sebarang objek yang dilanggar. Cuma sebuah kereta Wira menyelowkan diri dan berhenti. Tiba-tiba orang ramai datang berkumpul kat tepi umah aku, yang bermotor, berbasikal, berkeretapi (eh tipulah tu) semua stop kat lorong masuk ke rumah jiran aku di belakang. Eh kenapa ni. Siapa yang kena langgar? Persoalan masih menjadi misteri.
.
Tiba-tiba....
.
Menonong si baba hutan ni menuju ke rumah jiran aku di belakang dan memparking diri kat tepi stor pak cik Man, jiran aku tu. Dan orang kampung pun mula mencarut-carut, mana taknya, bila terkejut je 'eh bab*!' aku sendiri pun serba salah masa nak bagitau pakcik Man (sebab masa tu dia tak perasan lagi si baba). Tapi aku cakap gak 'Pak cik Man, Bab*!' (bukan aku kata pakcik man bab* tau!). haha. lawak kan?kan? Si baba yang khusyuk melepak kat tepi stor tu macam dah weng-weng sikit sebab kena langgar tadi. Kata saksi di tempat kejadian, hebat juga perlanggaran tersebut, depan Wira tu remuk dan cermin pecah, tapi si baba apah tak cedera!. Tengok la badan nya tu. Gemuk. Isk seram lah kang disondol-sondol pulak kita.
.
Beberapa minit kemudian, orang-orang yang berkumpul tadi bincang-bincang nak settlekan masalah ini. Kata putus dicapai iaitu si baba perlu ditembak. Datanglah penembak-penembak berlesen sekalian, eh ramai jugak penembak kat kampung aku. Tak tunggu lama, 'bang!' 1 das tembakan dilepaskan. Ada yang jerit ada yang melatah. Melatah sebut bab* pulak tu. Biasalah perempuan....eh kuat jugak bunyi tembakan secara live ye? Berderau darah mendengarnya.
.
Dan si baba pun tumbang...lepas tu barulah orang ramai mula mendekati. Aku dengan ahli keluarga aku jadi penghendap je dan aku snapkan gambarnya. Pastu aku pun menjongketkan diri nak kuar tengok macam orang lain tu. Ish, macam tak penah tengok bab* you....padahal bukan takde kat zoo taiping nuuu..biasalah...perak (e taling) wehh. Orang kampung aku ada yang wat lawak cakap 'ha, amik! pi buat tomyam' Isk,isk pakcik, tak senonoh la gurauan tersebut, kita kan haram makan bab*. Pastu kak Dilah anak Pak Cik Man pesan kat aku 'Luna, nanti buh dalam facebook tau!' Alamak malu seh, macam wartawan tak berlesen pulak. hahaha.

Gambar atas ni, toksu aku pun penembak jugak. Mula-mula nak suruh dia tembak, tapi terlambat 1 minit orang lain dah tembak dulu. Ye lah nak pegang senapang ni ada prosedurnya, peluru kena semat kat tempat sepatutnya bukan leh menonong-nonong je amik senapang 'bang!bang' camtu je. Tu yang lambat sikit bertindaknya. Tapi tak kisah lah, semua dah selamat.
.
Si baba yang tumbang tu diambil oleh 2 orang lelaki cina dengan motosikal roda tiga. Mungkin untuk santapan mungkin untuk dijual. Tamatlah riwayat seekor baba hutan yang tersesat masuk ke kampung ku....

Tuesday, August 3, 2010

Tulisan buruk, tulisan cantik, tulisan anda bagaimana?

Hari tu masa sign report kad Luqman, cikgu bagitau dari segi pelajaran Luqman ok, cuma masalah tulisan dia yang tak berapa elok. Bak kata Sudin 'Bukan tak tahu baca, saya baca bunyi Arab, Ajis baca bunyi syair, Ramli baca tak bunyi langsung!'. Tengok contoh gambarajah di bawah ni pun leh tahu. Huruf P kecik beso semua dihentam atas garisan. Isk, isk, anak sapa lah tulisan camni ye? Aku bukan tak ajar dia tulis kemas-kemas. Cuma menurut cikgunya masa kat sekolah kadang-kadang budak-budak ni takut tak abis salin apa yang cikgu tulis kat white board, jadi dorang pun cepat-cepat tulis sampai jadi lintang pukang. Bila balik rumah, nak disuruh padam dan salin semula dah mengambil masa. Aku pernah suruh dia buat macam tu, tapi akibatnya kerja sekolah beres pukul 11 malam! Hai, kesian pulak kawan dah ngantuk.
.
Walau bagaimana pun masalah ni dalam proses pembaikan. Cikgu nya sendiri yang nak buat kaedah ini, iaitu buat satu buku untuk latih tulisan je. Jadi, setiap hari cikgunya akan tulis 1 ayat dan Luqman dikehendaki mengikut apa yang cikgu tulis. Semakin hari semakin baiklah perkembangannya tu. Tapi ada orang kata tulisan buruk, besar nanti jadi doktor. Tapi Dr Kwang yang rawat hepatitis B aku tu, tulisan cantik tau! suka aku tengok dia tulis report aku.
.
.
Berbalik isu tulisan ni, aku dengan Am masing-masing lah tak mengaku Luqman ni mengikut siapa tulisan buruk. Aku confirm tak ngaku punya! Tengok la tulisan aku, santek (ikut style sapa ntah cakap gini) kan?kan? Sebenarnya tulisan aku ikut mood jugak dan ikut pen! Kalo pen nya selesa dipakai, bermata tirus, berjenama yang dikenali macam Pen Stabilo ke, harus jadi cantiklah tulisanku. Tapi kalo cap ayam yang harga RM5 kau dapat selonggok tu, kadang-kadang dakwatnya putus-putus. Benci! Sebab tulisan aku jadi tak lawa. Nak liquid balik, malas pulak.
.
Hm, ni lirik lagu UK's. harap maklum.
.
Di bawah ni pulak tulisan Am, aku curi-curi scan dari nota kursus dia ari tuh. Cadang tadi nak scan surat-surat chenta eh kang ada pulak yang malu tahap dewata raya sebab tayang surat itu di sini. Dulu kan masa zaman bercinta aku penah cakap 'tulisan awak ni wat saya gatal hidong lah..' Apa motif aku cakap gitu, ntah ler, dah tak ingat. Tapi korang tengok tulisan dia ada rasa gatal hidung tak? Kalo takde, selamat...
.
.
Dalam keluarga aku pulak, tulisan paling cantik bagi aku, ialah tulisan Yong aku. Dari sekolah rendah lagi tulisannya cantik, kemas gitu dan memang dari situ lagi dah nampak ciri-ciri kecikguannya dan sekarang memang dah jadi cikgu pun. (eh ada petunjuk ek pemilik tulisan tu jadi cikgu?Ntah?Aku reka je.hehe). Adik-adik aku pulak style tulisan budak-budak sekarang ni lah. Sebijik-sebijik konon cute gitu. Kalo tak formal boleh lak besar kecik besar kecik cuma takdelah bunyik menyakitkan telinga macam tambah-tambah huruf W takde motif tu. 'Buat apew tu.dh mkn kew? Eii tak kuasa.
.
Dan aku paling suka tengok tulisan orang. Salah satu sebab aku suka antar kad raya kepada kawan-kawan sebab nak tengok tulisan lah. Hehe dah jadi tabiat gitu. Kadang-kadang boleh jugak 'baca' sifat-sifat seseorang melalui tulisan. Tapi aku tak lah seterer Madam Zora. Sikit-sikit , tipu-tipu 'membaca' boleh lah....