Tuesday, November 30, 2010

manakan sama kita dengan orang lain....

Bila aku bukak FB, tengok gambo zaman sekolah dulu, selalu aku berhasrat nak bertemu semula dengan kawan-kawan lama, secukup-cukup korum seperti mana sekolah dulu.
.
Tapi aku tahu, sukar untuk merealisasikannya. Kalo ada pun mungkin seorang dua sahaja dapat bertemu. Yang lain punya alasan masing-masing yang aku faham benar. Yang dah berkeluarga dengan faktor sendiri, yang belum berkeluarga pun mungkin beralasan kesibukan kerja, menjaga ahli keluarga dan sebagainya.
.
Tapi bagi aku, andainya ada jemputan untuk bertemu, aku pasti akan usahakan. Aku tak mahu orang berkira-kira dan berat hati untuk memberitahu aku kerana memikirkan aku sudah bekeluarga jadi aku tentu sukar mengatur masa. Tidak, aku tidak begitu. Cubalah dulu mencari aku, InsyaAllah akan aku tunaikan permintaan itu.
.
Bila aku begini, kadang-kadang timbul juga bisikan jahat di hati ini merasa terkilan, tak suka dan merajuk dengan sahabat-sahabat yang selalu beralasan. Dan aku tak faham kenapa ada sang suami yang tidak memberi izin kepada isteri untuk keluar bertemu kawan. Bukan nak ajak pergi berdisko, berjoget tak tentu hala pun. Bukan berhari-hari atau berbulan pun. Cuma satu hari. Satu hari yang sangat istimewa. Hari pertemuan semula.
.
Bagi aku lagi, amat benarlah pepatah 'hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih' itu. Nyatakan saja keberatan hati mu untuk menghadirinya. Bukan kerana anak kuat menangis. Bukan kerana anak buas tak boleh duduk diam. Alahai, kanak-kanak memanglah begitu. Lagipun majlis yang kita nak buat bukanlah rasmi benar. Takde jemputan VVIP untuk merasmikan. Cuma kita dan kengkawan borak kita. Masing-masing yang ada anak akan membawa 'gerabak' masing-masing. Kita aturkan tempat yang sesuai, ada ruang untuk anak-anak kita 'lepas', ada ruang untuk suami kita berkumpul dengan rakan bersembangnya. Soalnya, adakah kau mahu kita bertemu semula? Dari situlah titik tolak keputusan.
.
Bla,bla,bla,bla hati ini terus membebel tetapi terhenti di dalam hati saja. Hati kawan perlu dijaga. Tidak apalah kalau anakmu terlalu buas. Aku faham. tak apalah kalau kereta mu belum servis, aku juga faham. Tak apalah kalau suamimu tak mengizinkan. Huhu. Apalah dayaku, hanya seorang teman yang ingin ketemu semula sahabat yang lain. Walaupun dulu kita sama berfikir, sama perangai tapi masa telah merubah segalanya. Aku tetap sama, tapi manakan sama orang lain dengan cara kita. Namun kutetap sayang semua sahabat-sahabatku. - L

p/s : termasuk dlm gambar di atas ialah kawan aku Marsyita Abd Wahab, yang dah berjaya dan menjadi pengasas kosmetik Sensaoil

Friday, November 26, 2010

Ketinggalan keretapi...

Aku sedar aku bukan lagi blogger tegar macam zaman dulu-dulu. (heh macam lama sangat? padahal blogging dari 2006 je). Selain faktor takde idea, sibuk macam menteri kerjaraya Uruguay, faktor fesbuk la yang paling mendominasi. Kat Fb senang, tulis sikit, ringkas dan padat kemudian post. Gambar pun dah senang giler nak upload bak kata iklan Al-Hijrah kat SinarFM "mudoh je, tekang2, sambil makang kopok lekor, tunggu sekejap doh dapat channel al-hijrah" hehe gitu ke ntah skripnya? Aku fitnah je. Tapi itulah alasan kununnya kenapa sudah kurang tegar sejak dua puluh lapan menjak yang lalu.
.
Tetapi, ketidak tegaran ini tidaklah kurasakan terlalu lama sehingga bertahun sebelum membuat come back. Paling lama hari tu 6 bulan. Tapi kenapakah rupa-rupanya aku sudah banyak ketinggalan ketapi dengan istilah-istilah blogger sekarang ni ye.
.
Mula-mula aku terperasan perkataan 'B.E'. Baca entry sana 'cara2 meningkatkan BE'...blog sinun 'yeah..BE datang lagi' dan blog2 seterusnya barulah aku tahu BE tu ada kaitan dengan menatang nuffnang tu ek? Buffered Earning kaedahnya. Aku, selaku pengiklan nuffnang yang sekejap timbul sekejap tenggelam ni aku sedar diri tak boleh kaya dengan nuffnang macam orang lain yang tiap bulan dapat cek nuffnang walaupun amount kena blur2 gitu. Jadi aku tak berapa amik dulik apa benda BE tuh. Rasa rajin je aku cek earnings. Cukup je, cash out le walaupun bertahun nunggunya. huhu.
.
Istilah kedua. GA. GA Blue penah ar dengar. Tapi 2-3 menjak ni perkataan GA banyak kedengaran juga di blog-blog. Setelah diriki-riki (perkataan riki pun aku baru tau...aku kelas istilah ni tak berapa pass le, dapat credit je) berpikir selama 18 minit dari satu blog yang banyak menggunakan perkataan GA barulah tau maksudnya Give Away. Oooo...kataku separuh melopong. Aku jarang masuk GA tu pasal la aku tak tahu. Kan aku malas nak copy paste banner, pastu nak reka-reka jawapan 'kenapa korang tak suka, benci gila baca blog aku' ha cuba korang bagi jawapan, hadiah GA aku ialah karipap panas aku bikin sendirik. Asalkan korang nak datang umah aku. Boleh ke? keh keh keh keh.
.
Dan yang ketiga...BW....'huk aloh' kata adik baju purple belakang perempuan pakai T-shirt tulis 'Juicy' kat dada tu. Apalah akak ni. Ketinggalan zaman sungguh. Ada ke BW pun tak tahu. Blog Walking lah Blog Walking! La...ye ke.. patut akak tak tau, sebab akak selalu BH kadang-kadang akak BR kadang2 akak goblog je. *Tiba-tiba ada skrip Indon 'Kau goblog!' sebagai background hahaha. Sukatik korang la pk BH dengan BR tu hapa. Tidak ada disenaraikan dalam kamus Dewan edisi terhad.
.
BE, GA dan BW, inilah istilah yang aku baru kenal 2-3 hari ini. Seperti mana dulu masa baru tau SAHM (stay at home mom), DH (devoted husband), CD (cloth diaper) dan PIL, BIL, MIL dan segala IL lah. Kali ini aku ketinggalan keretapi lagi. Lepas ni kalo aku kembali tak tegar berblog, apa agaknya singkatan terbaru, kan. Apapun harap-harap aku tak ketinggalan keretapi untuk tengok citer keretapi laju tu, Unstoppable. Dengar citer, hebat eh? - L

Thursday, November 25, 2010

Perempuan dan game


Sebenarnya aku bukanlah kaki gamers yang semulajadi. Hidup aku yang penuh sederhana sejak dari kecil ni tak memungkinkan aku menjadi seorang yang sentiasa update dengan perkembangan terkini.
.
Masa sekolah rendah, ada kawan kelas bercerita pasal game Super Mario Brothers, pacman ke hapa haram aku tau. Brick game pun aku takde walaupun hati tu teringin nya lah. Dok main tikam-tikam pun tak penah mengena! haha. Play station? Jauh sekali, aku taktau pun menatang tu wujud. Masa sekolah menengah la baru bergaul dengan kawan yang agak loaded yang mak bapak dorang mampu belikan brick game dan dia bagi la kitorang pinjam main bergilir-gilir. Kadang-kadang sampai bergadohan sebab tak dapat giliran main. Dapat dek pengawas, habis lah. Game adalah 'benda haram' di asrama selain dari mee maggi, iron dan juga walkman!
.
Bila aku start tau pasal game ni? Hm, masa kat UUM lah sebab dah tau guna komputer, internet kan masa tu. Tapi habis-habis terer pun main freecell dan pinball tu je la. Tapi bila kuar pekan dengan kengkawan dorang 'up' kan skill aku, ajar main game kat shopping complex. Bertuah punya kawan, kan. Ajar benda-benda tak berfaedah! hahaha. Tapi takpe, seronok masa tu, muda remaja. Ingat budak lelaki je ke tau main Daytona? Kita girls pun tau lorrr.... Pastu bila dah cintan-cintun, sharing knowledge pulak dengan Am. Budak laki suka main game apa? Fuh sharing knowledge gitu. Dari situ baru tau install macam-macam game dalam komputer. Antara yang paling digemari ialah Virtua Cop! Bising gila menembak-nembak macam hapa je. Punah mouse dalam masa seminggu.
.
Habis zaman tu, sekarang ni hp pun dah ada game canggih-canggih. Nak apa, bayar dan download je. Tapi aku tak suka main game hp. pening kepala sebab skrin kecik. Sekarang ni hp aku cuma ada 4 games termasuk Quadrapop (ni kira dah outdated ni) dengan Racing2010.
.
Memang aku bukan kaki games cuma sekarang trend main game kat fesbuk kan, so aku involve la sikit tapi aku main 1 je, farmville (asalnya 3 tapi tak larat nak maintain). hehe ramai jugak bloggers lain main FV dan jadi neighbour. Memang mengasyikkan main FV ni sampai ada kes pasangan bercerai disebabkan game FB. Tapi aku dan kawan-kawan yang lain takdelah sampai macam tu kot. Benda ni macam pisau lah. Kalo guna berpada-pada, tak lah sampai menjadi keburukan.
.
Tapi aku tau ramai juga yang sinikal, yang tak suka main games pastu tak suka sekali orang yang suka main games. Buang masa, takde faedah, bukan dapat hadiah pun, unsur mengancam akidah, antara komen yang pernah diberikan. Bagi aku, aku terima je pendapat tu dengan terbuka hati. Dah tua-tua ni, aku jadi tak kisah. Tak sentap dan tak pula defensive mempertahankan apa yang aku buat. Dan tak pulak aku nak mempengaruhi orang supaya main game ni. Sapa-sapa nak main sampai addicted macam ada sorang kawan aku main FV yang berbayar, mainlah. Dia mengaku belanja lebih kurang RM400 sebulan untuk game. Fuh! sanggupnya. Tapi aku suka, sebab pemain-pemain FV berbayar ni dorang boleh beli macam-macam rare animals yang bila animals ni breed, aku leh tumpang rembat anak-anaknya! hehe.
.
Game sama macam perkara-perkara lain yang datang dalam hidup kita, kalau kita guna cara baik, baik lah hasilnya. Kalau sebaliknya, buruklah hasilnya. Aku happy kerana main FV eratkan lagi hubungan dengan kawan-kawan FB tak kira senior atau junior. Leh belajar tentang nama tumbuhan dan haiwan, boleh meningkatkan kreativiti menghias halaman dan kebunan (kebunan?). Lagi apa? Ha, boleh jugak belajar time management, sempat ke tak kita nak harvest dan grab special offer dia dan macam-macam lah. Macam orang kata, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih, bila suka semua indah bila benci semua buruk. Aku pun tak tahu bila nak berhenti, sekarang dah level 68 tapi katanya level sampai 999 haha. Sampai bercucu ke nak main FV? Hehe tak kot.....kita hidup ni bersederhana saja lah, kan... - L

Wednesday, November 24, 2010

Perempuan dan Memasak

Adalah sinonim. Dalam blog pun boleh dikatakan setiap 10 blog tu, ada 1 blog tentang memasak (suka ati kajian aku je ni hehe). Dari cupcakes ke masakan bergoreng dan western food. Selain kisah memasak ramai juga rajin cerita tips dan alatan memasak yang sesuai. Cerita pasal jenama oven yang bagus, cerita pasal hajat nak beli produk tefal, cerita pasal mencuba resepi dan macam-macam. Seronok juga tengok blog orang yang pandai memasak dan rajin memasak ni. Untung nya family dorang ni, kalau nak makan macam kat restoran, nah kat rumah pun boleh. Baguslah kalau pandai memasak ni sebab memasak adalah fitrah perempuan. Kalau nak kawin pun bakal mertua tanya dulu 'tau memasak ke tak?' Kalau dah passed memasak tu, kira passed la jugak lesen untuk berkahwin.
.
Tapi zaman sekarang ni ada juga bakal mertua yang tak tanya samada bakal menantu perempuan tu pandai memasak ke tak. Mungkin kerana kemodenan, mak mertua tu sendiri pun tak tau memasak! Ye lah zaman sekarang ramai dah mampu pakai maid. Jaga rumah maid, jaga anak maid, jaga perut keluarga pun maid, cuma jaga suami je yang orang tak bagi maid jaga. haha. Tak pun sebab dah mampu sangat untuk makan kat luar setiap hari dan tak nak kotor-kotor kan dapur, keperluan untuk memasak ni, dah tak menjadi penting.
.
Bagi aku bab memasak ni, sekurang-kurangnya kena lah tahu yang asas. Aku cukup rimas kalau anak-anak dara yang buat kerja terkial-kial. Pegang sudip pun tak tahu. Balik ikan goreng pun terjerit-jerit. Over lah. Pastu mengaku tak reti masak sambal tumis, tanpa rasa bersalah! Memang la tak salah dari segi undang-undang, tapi kalau pandai memasak tu, satu bonus untuk disayangi suami dan ahli keluarga yang lain. Tapi kang ada cakap 'Suami I tak kisah kalo I tak masak, kami memang suka makan kat restoran'. Ok lah, tapi jangan sebut depan aku. Aku rimas. tetiba jer. haha.
.
Aku pun tak pandai memasak sangat-sangat. Idak le aku tahu camne nak buat nasi beriyani, nasi mandy ke, atau menghias cupcakes. Pizza pun aku tak reti macam puan Ayunasia kita, dia pandai buat pizza wooo.. Oh kalau kak Pnut, Najah tu memang lain citer la. Dorang dah taraf chef...memang aku puji dorang ni kerana kemahiran yang mantap itu.
..
Cuma aku tahulah apa-apa resepi yang mak aku ajar atau mak mertua aku. Eh mak mertua aku lagi la terer, memang penah berniaga lauk pauk. Nasi tomato, mee kari, laksa beliau antara yang tersedap penah aku makan. Kalau kenduri pun dia juga selalu jadi kepala tukang masak. 'Nahas' la kalo jadi menantu dia tapi tak tau masak walaupun yang basic, kan. Alhamdulillah, aku dah start belajar masak dari sekolah menengah walaupun aku dok asrama. Tapi tiap kali balik kampung tu, aku try masak lauk pauk, kuih muih yang mak aku penah buat. Disebabkan aku yang sederhana je bab memasak ni, aku rimas juga dengan orang yang pandai memasak ni tapi jenis tak boleh ditegur atau apa. Macam perfectionist. Ni aku cakap berdasarkan pemerhatian secara umum dan pengalaman aku masa memasak dengan orang lain. Ko tak boleh improvise, ko tak boleh potong sayur cara lain, ko tak boleh tambah sikit garam hatta secubit, kena ikut dia punya resepi juga. Ni pun aku rimas. Huh kalo banyak songel sangat aku tinggal je pisau dan papan pemotong tu kat situ. haha. Aku pun banyak songel jugak tau.
.
Aku suka style memasak macam Rachel Ray tu. Tak de sukat-sukat main campak-campak je. Asalkan nampak sedap dan memang sedap. Tap tap tap klung klang klung klang, dah siap! Aku suka juga belajar resipi yang baru, kadang-kadang aku belajar dari TV tapi aku cerita kat mak aku, dia yang masakkan! hehe kelakar. Sebab kadang-kadang mak aku pun dah takde idea nak masak apa. Eh sebenarnya dari dulu-dulu lagi aku jadi pencetus idea untuk menu makanan. Mak aku ikut je. Tapi ada setengah lauk yang hanya tangan mak aku je buat jadi sedap. Contohnya ikan cencaru sumbat, daging masak ros dan ayam musalmah (camtu la nama resipinya). So biarlah yang pakar saja melakukannya. Mak aku pandai masak sebab dulu penah keja kat umah orang. Majikan dia lah yang ajar pelbagai jenis resipi yang sedap-sedap. Buat kuih muih pun belajar masa tu. Masa aku sekolah rendah, mak aku jual kuih muih dan nasi lemak juga. Dari situ la 'aura'nya turun kat aku. Cuma aku je tak 'datang seru' nak menceburi bidang berniaga kuih muih ni. Takat nak buat untuk makan sendiri tu, boleh.
.
Jadi, bab memasak ni ada orang yang passionate nya dalam bidang tu, ada yang sekadar tau yang asas, ada yang rajin memasak tapi tak sedap, ada yang masak sedap, tapi malas, ada yang tak reti langsung memasak! Jangan lah jatuh dalam kategori ni, malu la sebagai orang perempuan kalau tak pandai menjadi suri dapur. Tapi jangan pula cerewet sangat sampai tak boleh ditegur. Masak campak-campak macam Rachel Ray tu pun jadi lah...glamer lagi, ahaks! - L

Friday, November 12, 2010

Entri klise, tak payah baca! :P

Syukur Alhamdulillah, hari ini mengikut bulan omputih, umur Luqman sudah pun cukup 8 tahun. Aku balik keje awal sikit tadi, dan belikan kek black forrest untuk dia. Sambutan kecil-kecilan bersama keluarga je.
.
.
.
8 tahun umur, darjah 2 di alam persekolahan. Memang dah banyak lah perkembangannya dan fikiran makin matang. Boleh dijadikan teman berbual dan bercerita. Tinggal lagi belum bersunat je hehe. Tengok keadaan anu nya memang gred A. Dah boleh sangat kata mak aku. Tapi kalo tanya dia, tak nak je. Semoga Allah mudahkan urusan ini dan bukakan hatinya untuk dikhatankan, kalo boleh cuti sekolah ni jugak. Senang sikit bila dah bersunat boleh solat satu saf dengan orang tua-tua!

Hadiah yang diperolehi dari mak cik, mak ude dan mak ucu nya. Sebuah beg sekolah, Alhamdulillah memang cadang nak beli yang baru sebab beg dia dah rosak teruk benar kat bahagian zip. Beg murah. Tapi yang ni rasanya boleh tahan lama kot. Terima kasih mak menakan-mak menakan semua kerana bagi hadiah kat Luqman.
.
Ini pelakon tambahan tapi macam pelakon utama. Dia yang beria-ria happy masa potong kek tadi.
Anak mak....doakan anak ku ini sentiasa dilindungi Allah SWT, dikurniakan rezeki yang murah, kesihatan yang baik, akal yang cergas dan kejayaan di dunia dan di akhirat...

Thursday, November 11, 2010

Angkat

Dalam kehidupan purata setiap orang mesti ada seseorang yang bergelaran 'angkat'. Samada anak angkat, mak angkat, adik angkat, abang angkat atau apa-apa je yang di'angkat' menjadi sebahagian keluarga sendiri. Cuma mungkin darjah kemesraan itu yang berbeza. Kalo anak itu diangkat dari kecil boleh jadi dia disusukan dan menjadi anak susuan maka pasti lah hubungan itu lebih erat seperti anak sendiri. Tapi bagi yang 'diangkat' semasa zaman persekolahan, contohnya di sekolah asrama ada sistem mentor-mentee, fasilitator ada juga yang beradik-kakak-abang angkat yang terus rapat ada yang setakat zaman sekolah itu saja.
.
Dalam hidup aku pula, ada kedua-dua jenis 'angkat' itu. Aku pernah dijadikan anak angkat oleh jiran aku yang aku panggil mereka Pak Tua dan Mak Tua (dalam gambar). Dorang memang takde anak, dan memang suka mengambil anak angkat. Ada 2 orang anak angkat nya yang sudah seperti anaknya sendiri dan anak-anak mereka umpama cucu-cucu mereka juga. Selebihnya adalah anak-anak jiran sebaya aku yang diangkat kerana kasih sayang mereka yang melimpah terhadap anak-anak kecil. Dengan status angkat itu, banyak keistimewaan, kelebihan rezeki mereka yang dapat juga aku tumpangi. Selain tu, mak tua aku seorang yang pandai mengubat dan membuat air penawar. Setiap kali adik-beradik aku demam atau bila aku akan menduduki peperiksaan, mak tua lah yang membuat air penawarnya menggunakan ayat suci Al-Qur'an. Dia juga rajin bercerita dan menasihat. Selalu membelikan hadiah dan mengadakan majlis hari jadi untuk anaknya, yang mana, itulah peluang aku dapat merasa makan-makan yang sedap dan kek icing. Terlalu istimewa hubungan ini sampai sekarang aku tak melupai jasa dan kasih sayangnya walaupun mak tua ku sudah tiada dan pak tua sekarang tinggal dengan anaknya di Klang. Eh tiba-tiba ku sedih pulak, sebenarnya nak citer pasal 'angkat-mengangkat'.
.
Angkat-mengangkat aku yang kedua, masa aku sekolah rendah aku amik adik kawan aku sebagai adik angkat. Namanya Hafeez. Sementelah kononnya aku takde adik lelaki kan, teringin rasanya nak rasa macam mana ada adik lelaki. Dan sampai sekarang pun aku dengan kawan aku dan adiknya tu masih berhubung dan tahun lepas aku pegi menghadiri kenduri kawin adik angkat ku itu. Zaman sekolah menengah pun aku ada adik angkat, yang diangkat dari program adik-beradik ke program apa ntah tapi setiap form tu ada 'adik beradik' kita. pemilihan dibuat semasa minggu orientasi form 1, yang form 2 akan cabut nama adik angkatnya dan dari situ berulang lah prosesnya untuk generasi seterusnya. Tapi 'adik beradik' aku terputus bila 'kakak' atas aku dan atas dia, sudah bertukar sekolah ketika tingkatan 4. Dan program tu pula stop setakat tahun 1993. Jadi dalam talian 'adik beradik' aku tu, tinggal aku dan Salhana saja lah. Seronok jugak ada adik angkat, rasa diri disayangi. hehe. Dan sampai sekarang aku dengan Salhana masih berhubungan, kebetulan dia pun masuk UUM juga tahun 1999 tu.
.
Itulah akhirnya satu hubungan angkat yang aku pernah ada. Aku selalu gak dengar orang kata pakwe angkat, makwe angkat, bini angkat. Boleh ke? Ada jugak mulanya beradik-abang angkat yang kemudiannya terangkat kain jadi hubungan terlarang. Tapi ada juga hubungan adik angkat yang berakhir di jinjang pelamin dengan suci dan diredhai. Sapa yang macam tu? Cuba angkat tangan? - L

Wednesday, November 10, 2010

erti kejayaan bagi seorang anak...


Hari ni ada hari kecemerlangan akademik sekolah Luqman tapi Luqman tak dapat apa-apa hadiah jadi hari ni dia tak sekolah. Huhu sedih betul, ingatkan boleh la tengok dia naik pentas macam tahun lepas. Walaupun bukan hadiah kedudukan terbaik dalam kelas, dapat hadiah matapelajaran terbaik pun dah cukup menggembirakan aku.
.
Entah lah anak ku ini, tak mau langsung menurun sifat aku masa zaman persekolahan dulu. Zaman aku kecik, mak ayah aku bukan educated sangat pun, mak aku surirumah sepenuh masa tapi semangat untuk belajar bersungguh-sungguh tetap ada dalam diri anak-anak. Berbanding Luqman ni, aku rasa aku lebih tekun bertanya tentang pelajaran dia, ajar dia. Masa buat latihan nampak macam faham, boleh buat. Time exam bila tanya 'boleh jawab?' Dia jawab 'Boleh' saja. Susah ke senang? katanya 'senang'. Tapi bila tengok markah, alahai, secukup makan, kalo paling tinggi pun 86 markah kertas BM nya. Yang lain tu malas cerita lah, cumanya takde lah failed.
.
Sebagai emak, tentulah aku kecewa walaupun memang aku tidak mahu memaksa anak aku untuk mencapai sesuatu yang bukan kemampuannya. Potensi kanak-kanak ada dalam pelbagai bidang dan dalam zaman yang serba canggih ini, untuk mengimbangkan didikan ke atas anak-anak adalah sesuatu yang amat mencabar. Cuma aku terkilan sikit sebab perbezaan 'nilai kejayaan' antara aku dengan dia. Aku dah kata pada dia, 'masa mak sekolah dulu, tiap-tiap tahun maktok tengok mak naik pentas, masa zaman maklong (kakak aku) pun macam tu. Kalo dapat markah 80 pun dah sedih sangat, mesti belajar pandai-pandai lagi dan lawan dengan orang lain supaya tak jatuh nombor periksa.' *masa ni aku dah terpilu sikit, suara pun dah tuning lari..haha, mak, mak..sensitif beno!
.
Ayah dia pun pernah warning awal-awal, kalo turun kelas (sekarang Luqman kelas Bestari kira kelas pandai), takde dah internet, cd, basikal pun jangan harap. hm itulah ayah...bagi target takat 'jangan turun kelas'. Anak pun rasa kalo takat tak bagi turun kelas, tu...hm dia boleh je.. Kat sini aku kena terima hakikat yang Luqman ni typical budak lelaki. Tengok macam ayah dia pun sama, aku tak la kata laki aku tak terer masa sekolah. (tak la pandai sangat tapi kira boleh masuk U tu ok la kan....bukan senang orang lelaki yang bercita-cita nak masuk U ni). Luqman kalo ada mood, rajinlah dia, nampak brilliant lah dia. Tapi bila dia rasa tak nak, buat macam mana pun dia pi takat tu je. Nama kata nak macam kita ni perempuan ada sensitiviti sikit. Bila mak sedih tengok markah kita sikit, pasti lah kita rasa bersalah dan tercabar, dan berusaha lagi untuk bagi mak gembira. Kesungguhan yang tidak dipaksa-paksa. Dan Alhamdulillah rasanya aku dah bagi yang terbaik semasa zaman persekolahan dulu. Tapi anak lelaki, tidak begitu.
.
Maka kelatlah muka mak nya ini semalam bila diberitahu 'mak esok Luqman tak payah sekolah sebab cikgu kata yang tak dapat hadiah tak payah datang' Muka ceria pulak tu. Alahai anakku, tak terkesan apakah dengan perkataan 'tak dapat hadiah' itu? Tak rasa malu kah tahun lepas naik pentas, tahun ini tidak? Tapi seperti mana tajuk cerita ni tadi, bila aku menegur dia kerana markah peperiksaan yang teruk, dia cuma jawab 'asalkan tak turun kelas kan mak?' Aha, ye lah, yelah...asalkan Luqman tak turun kelas....huhuhu - L

Monday, November 8, 2010

cerita pasal penculikan


Semalam aku tengok Oprah Winfrey show, memang suka sangat rancangan ni. Tak kisahlah walaupun aku ketinggalan dengan isu yang ditayangkan tapi bagi aku rancangan oprah tetap relevan, setiap siaran, ada benda yang aku boleh belajar.
.
Satu pendekatan yang aku suka sangat ialah cara dia menyampaikan soalan, dan jawapan dari tetamu tu, mereka pandai memilih perkataan terbaik, ringkas namun padat. Dan aura positif berada di mana-mana, elemen jujur dengan latar belakang diri juga amat terkesan bagi kita yang menonton. Itulah profesionalnya mereka dalam bidang talk show.
.
Semalam isunya tentang seorang kanak-kanak perempuan yang pernah diculik selama 9 bulan ketika berumur 14 tahun tetapi dapat diselamatkan, satu kejayaan dalam bidang siasatan jenayah yang jarang-jarang sekali berlaku, kemudian ada satu lagi kes penculikan kanak-kanak juga tetapi tidak dapat diselamatkan, dan ibu bapanya pula jadi suspek.
.
Kes penculikan kat mana-mana pun boleh berlaku dan tak mengenal usia. Bila aku tengok rancangan tu memang timbul kesedaran dan sedikit ilmu macam mana cara komuniti di US bertindakbalas terhadap kes macam ni. Malang boleh berlaku bila-bila dan kita perlu ada ilmu untuk menghadapi situasi ini supaya dapat dicegah dari awal. Di Malaysia ni pun bukan sedikit kisah kanak-kanak diculik dan setakat ni memang tiada yang ditemui. Adakah? macam takde kan?
.
Macam Luqman pun dah beberapa kali nyaris hilang. Budak baru nak membesarkan, bukan nya dia mau jalan seiring dengan kita. Bila sampai shopping complex menonong dia berlari menuju benda yang dia suka. Seriaunya kita, hanya Allah saja yang tahu. Mujur je lah dilindungi oleh malaikat, lalu setakat ini tiada apa buruk pernah terjadi. Tapi itu bukan alasan untuk aku lega kerana memandangkan kes culik yang tidak mengenal usia itu tadi. Kes yang terjadi di US tak mustahil terjadi kepada kita kerana manusia yang berhati binatang ada di mana-mana. Ya Allah janganlah ditimpakan apa-apa yang aku tak mampu menghadapinya.
.
Baru ni, sabtu, adik-adik,kakak aku dan anak-anaknya pergi Jom Heboh kat Stadium Batu Kawan tu. Umat memanglah ramai dalam keadaan hangat,rimas nya tu. Abang ipar aku dukung Aisyah sambil menggantung payung di tangan. Entah macam mana, ada orang rentap payung tu, dan tak sempat toleh, hilang entah ke mana. Mujurlah ayahnya dukung Aisyah dengan kemas dan kuat. Aku rasa mungkinkah orang tu sebenarnya nak mengambil Aisyah? Memang gementar jadinya kakak aku dan adik-adik aku kat situ. Dalam keadaan umat yang ramai itu, sekelip mata sahaja anak kita boleh hilang. Trauma sekejap bukan saja dorang yang pergi Jom heboh tu, kami yang kat rumah pun seriau bila dengar cerita. Mak aku lagi lah...dok ulang-ulang cakap supaya lebih berhati-hati lepas ni.
.
Apa yang aku boleh katakan, hal macam ni memang kena selalu beringat, bukan bila tiba musim 'penculikan kanak-kanak' sahaja kita berwaspada. Pesan lah kepada kawan-kawan, ahli keluarga yang membawa anak-anak keluar, sentiasa perhatikan anak-anak. keselamatan di rumah juga perlu sebab macam kes Elizabeth Smart (gambar) tu dia diculik dari bilik rumahnya, diacu pisau di leher , diculik dan disimpan di rumah 'pasangan penculik gila' tu selama beberapa bulan. Mujurlah nasib menyebelahi dia, sesuai kot nama keluarganya 'Smart' dia melakukan tindakan yang dia perlu lakukan demi kelangsungan hidupnya dalam tahanan tu. tapi bukan semua orang bernasib baik macam Elizabeth Smart, kita yang belum menghadapi ini, beringat-ingatlah. - L