Tuesday, August 10, 2010

Taman yang indah, di laman sendiri

Seorang pekebun itu telah berminggu membuka laman belakang rumahnya untuk dijadikan sebuah taman.
.
Pada hari-hari yang pertama, dia telah berfikir dan merancang pelbagai jenis benih bunga yang indah untuk disemai. Pekebun itu juga telah membeli pelbagai jenis baja dan peralatan untuk merealisasikan hasratnya itu. Dengan bahan dan alatan yang cukup, pekebun pun mula menanam dan menyusun barisan pasu-pasunya agar kelak, apabila bunga mulai berkembang, kebun nya tadi akan menjadi berseri-seri dipandang orang.
.
Namun begitu, tidak semua impian pekebun itu tercapai. Beberapa batang pokoknya diserang makhluk perosak walaupun dia telah menyembur dengan racun serangga. Ada pula pokok herba yang diharapkan untuk menjadi ubat tradisional, layu sebelum cukup tumbesarannya. Walau bagaimanapun masih ada bunga-bunga dan pokok-pokok yang terselamat dari ancaman, cuma pekebun merasa kecewa kerana impiannya untuk melihat kebun yang berseri-seri tidak akan tercapai. Apalah diharap pada satu dua batang bunga, langsung tak dipandang orang.
.
Satu hari, pekebun melihat jiran sebelahnya juga sedang mengusahakan laman belakang untuk dijadikan taman. Si jiran tadi dilihatnya tidak pula menggunakan pelbagai alatan dan baja-baja yang bagus, namun beberapa minggu kemudian, bunga-bunga di kebun jirannya kembang mekar dan sangat cantik. Pekebun berasa sangat cemburu melihat laman jirannya yang sangat cantik sedangkan si jiran tidak pula bersungguh-sungguh sepertinya menyemai laman.
.
Suatu hari pekebun berhasrat untuk mengintai laman si jiran. Kerana malu untuk bertanya rahsia si jiran, pekebun pun terhendap-hendap melihat taman yang indah tersebut. Rupa-rupanya keindahan yang dilihat itu bukanlah yang asli, tetapi palsu belaka. Pekebun mendapat tahu bahawa suami si jiran adalah seorang jurutera yang telah merekacipta tanaman dari gentian yang menyerupai pokok bunga sebenar! Ah, padan lah segalanya kelihatan indah dan mudah, kerana ia bukan asli!
.
Di manakah kepuasan sekiranya segalanya begitu mudah tetapi palsu? pekebun kembali ke tamannya dan melihat baki pokoknya yang masih hidup dan mekar. Sekurang-kurangnya dari pokok yang masih hidup itu pekebun boleh mengkaji apakah bezanya dari pokok-pokok yang telah layu itu. Mungkin kah baja nya kurang, mungkin kah semasa proses menanam tadi pekebun telah terpotong akarnya?. Setiap pasu itu diperiksanya dan sememangnya ada kesilapan di setiap pokok yang telah layu. Pekebun bernekad memperbetulkan kesilapan tersebut dan akhirnya sebuah kebun yang sempurna terbentang di hadapan mata. Sementara di kebun jiranan yang indah pada mulanya itu, semakin pudar kerana campuran kimia warnanya tidak tahan dilanda hujan lantas luntur semuanya.....

2 comments:

Mak Su said...

sebuah motivasi yg mmg sy perlukan :)

salam ramadhan

Aku adalah aku said...

Kecantikan yang asli dan tulen sentiasa terserlah keindahannya...